Tuesday, 27 November 2012

PENGHORMATAN BUAT ABAH

Tribute to Abah - Allahyarham KADIR BIN HASHIM (1952-2001)

Catatan ini adalah sambungan daripada catatan ABAH - Semai Tabiat Membaca. Tanda ingatan buat abah yang sentiasa dirindui.

Abah seorang pembersih
Abah akan mengambail masa yang lama untuk berus gigi dan mandi antara 30 minit ke sejam. Hasilnya,  gigi abah sangat cantik dan masih kuat walau telah berumur 50 tahun. Tiada gusi yang lopong tanpa gigi, apatah lagi menggunakan gigi palsu. Abah pun hensem dan putih, ini mungkin sebab tabiat suka mandi lama :)

Abah seorang yang kemas
Pergi ke mana sahaja abah mesti pastikan bajunya dan seluarnya digosok terlebih dulu. Abah memang tak gosok baju sendiri. Masa kami kecil mak yang gosok. Bila kami dah besar, apalagi tugas ini diambil alih oleh kami adik beradik. Sebab itu sampai sekarang kami suka gosok baju. Ye ka?
  
Abah tegas
Abah paling tak suka kalau kami menangis. Abah tak kisah kalau kami main dan bergaduh cuma jangan menangis. Kalau menangis memang cari pasal, sebab abah akan pastikan kami nangis lebih lama. Uwaaaaaaaaaa…..kami akan dibantai lebih teruk.

Abah nak kami berdikari
Abah tak akan hantar kami ke mana jua sekiranya perkara tersebut mampu kami lakukan sendiri. Dulu rasa marah pun ada, sedih juga bila abah orang lain manjakan anak-anaknya walaupun dekat pasti akan dihantar ke mana sahaja. Kadang-kadang terasa seperti ‘tidak disayangi’. Kini baru aku tahu hikmahnya. Abah macam tahu umurnya tak panjang jadi anak-anak dididik berdikari sejak kecil. Ini membuatkan kami membesar sebagai seorang yang berani dan berdikari termasuk dalam membuat keputusan dan merancang hidup

Abah tak berkompromi.
Jika anak-anak tak lakukan apa yang abah minta kami buat untuk kebaikan kami sendiri, abah akan tidak berganjak dengan keputusannya. Hikmahnya, abah nak kami berusaha untuk kebaikan diri sendiri, kemudian usaha kami itu akan dibantu dan dimurnikan oleh abah dan mak.

Abah suka minum air kopi
Aku pun suka kopi. Bila abah suka minum, jadi kami adik beradik yang ditugaskan untuk menyediakannya. Abah akan minum minuman manis selepas makan.
"Dah, buatkan abah air" masih terngiang-ngiang permintaan beliau.
"Adik pandai buat air, buat air kat abah sat!" pujuk abah.

Abah selalu ingat kami
Tabiat yang satu ini amat menyentuh hati apabila dikenang kembali. I miss it so much, really do. Abah tak akan lupa belikan kami makanan bila dia keluar dan nak balik ke rumah walaupun telah lewat malam. Atas tuntutan kerja dan tanggungjawab abah memang selalu balik lewat malam atau awal pagi. Kami semua pasti akan dikejutnya berulang kali dan abah akan pastikan kami kami bangun untuk makanan yang telah dia beli. Kami pun sangat suka sebenarnya, saja buat-buat tidur. Antara menu kegemaran kami yang sangat difahami oleh abah adalah burger special, bihun sup dan laksa. Semua ini telah jadi kenangan indah yang abadi.

Abah pandai masak
Abah masak campak-campak. Antara resepi abah mee goreng dan bihun goreng. Sekali sekala abah masak memang sedap untuk bagi peluang kat mak rehat. Abah masak memang sedap, walaupun asal apa je yag ada kat depan dia. Kuah kari pun boleh jadi masuk dalam nasi goreng dan bihun goreng.  Abah pernah buat masak air keropok. Mesti tak ramai yang tahu resepi ini. Pernah masak kat rumah sewa, semua pun macam terkejut . Tapi sedap tau cubalah boleh cuba kalau tak percaya.
Abah kalau tak masak, dia suka duduk di dapur bila orang memasak. Jadi tok dan adik-adik mak (Che Na dan Che Do terutama yang suka bergurau dengan abah) memang sayang dan suka abah. Abah akan bergurau dan jadi tukang rasa.

Tulisan abah kemas dan cantik
Abah kidal orangnya. Kami adik beradik memang banyak ikut ciri abah yang satu ini. Abah tulis condong sedikit ala-ala tulisan orang dulu-dulu yang bersambung. Tulisan abah sangat cantik dan sangat kemas walaupun ditulis dengan pen.

Abah terror English
Abah belajar sekolah orang putih dulu. Jadi abah memang boleh ‘speaking London’. Bila nak tidur malam kami adik beradik mesti cakap good night dan tunggu jawapan abah dulu baru masuk tidur.

Abah kelakar
Abah memang suka buat lawak. Abah suka usik mak dan adik-adik mak dengan bahasa kelantannya.

Menantu kesayangan tok
Kalau ikut mak, abah suka bawa tok pergi pekan. Jadi tok memang sangat suka dekat abah sebab senang untuk minta tolong.

Di akhir umurnya aku tahu, abah merupakan ABAH TERBAIK IN THE WORLD buat aku. Terima kasih abah atas didikan secara langsung dan tidak langsung yang telah mendewasakan kami menjadi orang yang berguna dan pandai berdikari. Sayang Abah.

*[sumber foto]

 
opsss...time for Phd. Hari ini nak tengok semula apa yang patut:
# ditulis dalam laporan kemajuan sem i, 2012/13. Tarikh akhir 2 Dis.
# Esok ada kelas Crypto 2 jam, RSA dan ECC - revise slide.

-mrsmohd
11.15am

No comments:

Post a Comment