Friday, 15 July 2011

DISIPLIN: Beri Pilihan

Sebagai ibubapa pasti menjadi kerunsingan apabila permintaan kita tidak ditunaikan. Walaupun berulangkali perkara yang sama dinyatakan anak masih tidak menuruti suruhan. Silapnya di mana? Apakah strategi tertentu yang boleh digunapakai?
 
Beri mereka pilihan. Kuasa untuk memilih. Ungkapan yang sering kita dengar --> HIDUP INI ADALAH PILIHAN. Keputusan bergantung pada individu misalnya:
 
"Bersedekah RM1 atau RM20?"
"Nak makan sekarang atau biar dulu?"

Dah cuba
Dalam pendidikan anak-anak juga, kita digalakkan memberi pilihan kerana terdapat banyak kebaikan yang membantu dalam usaha mendisiplinkan anak-anak. Usaha ini memang akan nampak hasilnya dalam tempoh yang singkat. Antara pilihan yang diberikan kepada anak-anak ana di rumah:
 
"Ateh nak basuh baju pakai tangan atau guna mesin basuh?"
"Angah setiap hari, nak buat sepuluh soalan atau seratus soalan?"
"Achik nak tidur sekarang atau lagi 5 minit?"
"Along kalau tak minat badminton tak apa, cuma apa latihan fizikal lain yang boleh disertai? Pilih satu"
 
Strategi ini berkesan, mengapa?
Ini kerana tiada perebutan kuasa. Anak-anak memilih, mereka tidak dipaksa melakukan sesuatu. Bila pilihan di tangan mereka, mereka akan bekerjasama. Tanggungjawab ibubapa membuat keputusan masih dapat dikekalkan seperti dikehendaki. Situasi menang-menang dibentuk di mana keperluan kedua-dua pihak dipenuhi.

Yang paling penting, anak-anak BELAJAR semasa pilihan dibuat mengenai:
  • Apa keupayaan mereka,
  • Apa pilihan yang terbaik dan
  • Apa kesukaan mereka.

Selamat mendidik! :)

Rujukan: http://ahaparenting.com/

---------{@
Ana Solehah
15 Julai 2011

Thursday, 14 July 2011

Tak suka

"Kenapa ibu susah-susah, ibu bukannya ibu betulpun,. Ibu tiri je!" anak berusia 9 tahun menunjukkan protes bila kemahuannya tidak dipenuhi. Berdesing,  cukup mengguris hati kata-kata itu.

Melayang penyangkut baju ke lantai. Nyaris kena pada si anak. Memang tidak berniat untuk tepat pada sasaran sekadar melepas geram di hati dan amaran kata-kata itu tidak digemari.

Sakitnya, pedihnya ...biarpun hakikat ana memang ibu tiri. Biar pahit harus ditelan. Pelikkan? kenapa pula pahit? Terbawa-bawa dengan tanggapan skeptikal masyarakat ibu tiri seorang yang garang, jahat, suka mendera anak tirinya.

"Ya Allah berikan aku kesabaran dan permudahkanlah usahaku mendidik anak-anak ini" sesungguhnya ana berusaha tidak ingin jadi ibu seperti itu. Janji ini tersemat dari awal lagi, sejak bergelar ibu kepada empat amanah Ilahi.

"Jangan sekali-kali disebut perkataan itu, ibu tak suka"

"Tak suka, faham?" ulang ana lagi dengan nada lebih tegas.

Anak-anak saling berbisikan.
Yang tua berusaha menerangkan pada adiknya tadi.


---------{@
Ana Solehah
15 Julai 2011

Naluri Ibu Tiri

Adakah ibu itu sekadar melahirkan
Ada anak kandung dibiarkan
Di tepi longkang, dibuang
Di dalam tong sampah
Malah ada juga ditinggalkan
Kerana kepayahan hidup

Persoalannya
Berapa ramai antara kita
Baik lelaki atau wanita
Sanggup menghulur tangan
Menjaga, membelai dan membesarkan
Selain anak sendiri

Pasti jawapnya
Ramai yang tidak sanggup
Juga tidak mahu
Bukan kecil tanggungjawab
Bakal digalas
Usaha perlu dilaksana
Pengorbanan dibuat
Rasa dicuit

Jadi tidakkah
Naluri keibuan mereka harus dihormati
Kesanggupan mereka harus ditatang
Murninya usaha dirai
Kasih mereka dihargai
Semangat perlu diberi

Bukan dihujani
Dengan pertanyaan pelik
Garang tak dia?
Dia selalu pukul?

Islam sendiri membenarkan anak dipukul
Untuk tujuan mendidik
Asal tidak melebihi batas
Ibu kandung juga memukul anak
Malah mereka turut mendera

Ibu tetap ibu
Sama ada mereka kandung atau tiri
Pasti anaknya dikasihi
Semuanya terletak pada iman
Mewajari amanah Ilahi
Bukannya status seorang ibu


---------{@
Ana Solehah
14 Julai 2011